“Lani pendapatan Pak Cik dari mana?”, tanya saya pada Pak Cik Arif ketika sesi temubual dokumentari poket akhirat.
“Ada dapat pencen ilat RM500 sebulan. Kadang-kadang ada kawan-kawan bagi sikit tampung belanja”, jawabnya.
“Cukup ka Pak Cik?”, sengaja saya bertanya untuk melanjutkan perbincangan.
“Memang tak cukup. Tapi nak bagi cukup Pak Cik jumpa budak-budak Pak Cik sedekah. Alhamdulillah cukup”, balasnya.
Saya tersentak.
Dengan pendapatan RM500, terpaksa menanggung kos rawatan sakit jantung, kecing manis dan minor stroke beliau yang belum sembuh sepenuhnya. Sebelum ini pula beliau terpaksa menanggung kos rawatan anak beliau dihospital.
Tetapi selepas mendapat rawatan dialisis di Pusat Hemeodialisis Zakat Kedah, anak beliau sudah tidak perlu ditahan dihospital lagi. Sekiranya sebelum ini hampir setiap bulan terpaksa berkampung dihospital, tetapi kini hanya perlu menjalani rawatan dialisis sahaja. Sekali sekala sahaja perlu ke hospital bagi tujuan pemerikasaan lanjut.
Untuk menderma, kita tidak perlu menunggu sehingga kita menjadi kaya. Cukup sekadar kaya hati.
Secara logik akal, dengan pendapatan tidak seberapa. Makan minum pun kadang-kadang ditanggung jiran tetangga dan sahabat handai tidak memungkinkan beliau untuk bersedekah.
Tetapi itu bukan halangan. Walaupun pendapatan tidak seberapa, beliau tetap menyimpan di dalam “Tabung Harapan”.
Tabung untuk membina kehidupan yang lebih bahagia di dunia. Lebih daripada itu, untuk mencapai kebahagiaan di akhirat.
Walaupun sedikit beliau menderma, tetapi beliau mempunyai harapan yang cukup jauh. Harapan supaya rezekinya dipermudahkan oleh Allah. Harapan untuk membina sifat redha yang tinggi dalam diri.
“Pak Cik ada hutang?”, tanya saya.
“Pak Cik ada hutang. Hutang nak bayar bil hospital anak Pak Cik ketika berpuluh-puluh kali ditahan dihospital untuk tempoh yang panjang”, jawabnya.
Saya sekali lagi terpana.
Mungkin dermanya tidak seberapa. Tetapi keyakinannya itu amat berharga.
Mudah untuk kita berkata sabar. Tetapi bukan mudah untuk orang yang memikul bebanan ujian dari-Nya.
Faisal Mustaffa
2 Jun 2018
17 Ramadan
2 Jun 2018
17 Ramadan
0 comments