Dakwah

SAYA SYUKUR KERANA UJIAN INI KENA PADA SAYA, BUKAN ORANG LAIN

June 03, 2018Faisal Mustaffa


Usai berkhutbah, saya bergegas ke pejabat untuk meninjau kerja-kerja operasi kaunter zakat dihujung minggu oleh anak buah.
Sebaik tiba, Syed Taqiyuddin meminta bantuan untuk mengisi siri rakaman dokumentari Poket Akhirat TV Al Hijrah memandangkan tiada pegawai yang boleh hadir disebabkan penyusunan jadual saat akhir.


Rakaman ini melibatkan seorang ayah yang mengalami sakit jantung, kencing manis dan baru sembuh daripada strok dan anaknya seorang pesakit dialisis diusia muda dan telah kehilangan penglihatan disebabkan masalah kencing manis yang serius. Isterinya telah lama meninggal dunia.
Zalilah, anak perempuan beliau merupakan penerima bantuan dialisis dibawah Pusat Hemeodialisis Zakat Kedah.
Sebaik masuk sahaja ke dalam rumah, saya termenung. Mendengar pula kisah Zalilah yang kehilangan penglihatan dan menjalani rawatan dialisis disamping ayahnya yang juga sakit tenat membuatkan saya berfikir panjang.
“Alangkah besarnya nikmat yang aku miliki hari ini”.
Ketika memulakan rakaman, Pak Cik Arif semput. Beliau tidak boleh bercakap lama kerena mengalami penyakit penat. Beliau berehat sebentar sambil memejamkan mata, kemudiannya membuka mata kembali.
“Pak Cik sakit. Buka la puasa makan ubat jantung. Ada rukhsah”, nasihat saya. Tapi beliau enggan. Sayang katanya.
Walaupun ianya sekadar rakaman, tetapi apa yang keluar daripada hati kecil Pak Cik Arif adalah suatu yang saya kira cukup murni. Orang kampung, tidak pandai berlakon atau berpura-pura apabila berada dihadapan TV. Meluahkan isi hati atas kesengsaraan hidup yang dilalui sememangnya lahir dari hati.
Antara jawapan yang beliau berikan dan cukup menyentuh hati saya adalah, “Saya syukur penyakit ini kena pada saya dan anak saya. Tak kena pada orang lain. Ujian Allah ni saya redha”.
Jawapan yang diberikan ini mengingatkan saya kepada kisah Nabi Ayub Alaihissalam. Terngiang-ngiang suara Allahyarham TG Dato Ustaz Haron Din di dalam kelas pengubatan Islam 10 tahun lepas di Darussyifa Bangi.
Lazimnya manusia akan mengeluh, “Kenapa aku diuji”. Tetapi hari ini saya bertemu dengan insan yang hebat yang mampu berkata dengan tulus hati, “saya bersyukur kerana saya yang diuji, bukan orang lain”,
Saya terfikir, “Kalau kita?”.
Faisal Mustaffa
Kg Gunung Sali
1 Jun 2018
18 Ramadan 1439
Nota : Rancangan Poket Akhirat adalah dokomentari yang mengkisahkan berkaitan dengan asnaf-asnaf penerima bantuan Lembaga zakat Negeri Kedah yang ditayangkan di TV Al Hijrah.

You Might Also Like

0 comments

Popular Posts

Contact Form