Mahasiswa
PENDIDIKAN POLITIK PASCA PRU 14 : KEBEBASAN MEMILIH BERMULA UMUR 18 TAHUN
May 29, 2018Faisal Mustaffa
Gambar Hiasan : Deklrasi Mahasiswa 2008 di depan DTC UM
Tsunami di dalam PRU 14 membawa lembaran baru kepada politik negara. Barisan Nasional menguasai kerajaan selama 62 tahun, bertukar tangan kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Pemilihan yang berlangsung baru-baru ini melibatkan pengundi berumur 21 tahun dan ke atas yang mengundi atas kerelaan sendiri memandangkan pengundi baharu perlu mendaftar sebagai pengundi apabila mencapai umur 21 tahun.
Di dalam PRU ke 15, trend pemilihan berkemungkinan akan berubah. Dimana, seperti yang dijanjikan di dalam manifesto kerajaan sedia ada (PH), daftar pengundi akan berlaku secara automatik apabila mencapai umur 18 tahun.
Ini bermakna, pelajar-pelajar yang berumur 13 tahun pada masa kini akan menjadi pengundi dalam tempoh 5 tahun akan datang.
Jumlah pengundi akan bertambah secara mendadak dan sebahagian besarnya adalah dalam kalangan generasi muda. Semua orang layak mengundi sebaik sahaja menggenggam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kemasukan pengundi baharu ini sudah tentu mewujudkan pola baharu di dalam PRU 15.
Selain itu di dalam PRU 14, pemilihan pengundi masih dilingkungi oleh “budaya takut” terutamanya dalam kalangan kakitangan awam. Sebahagiannya mungkin berani bersuara, tetapi masih ramai yang takut dengan ugutan-ugutan pentadbir yang mengungut sekiranya menyokong parti selain kerajaan akan dikenakan tindakan samaada ditukar atau ditahan kenaikan pangkat. Mungkin bukan semua, tetapi ada yang menjadi mangsa.
Ramai yang berharap, kerajaan baharu yang ditubuhkan ini mampu memberi nafas baharu kepada rakyat untuk bebas memilih mana-mana parti tanpa diberikan sebarang tekanan. Kebebasan terpimpin diberikan kepada rakyat untuk memilih PH, BN atau PAS sebagai wadah perjuangan mereka.Tidak ada paksaan untuk memilih mana-mana parti.
Sememangnya sukar untuk meraikan perbezaan ini. Lazimnya, sukar bagi kita untuk menguruskan perbezaan.
Buktinya, sehingga kini masih ramai yang saling perli memperli selepas pasca PRU 14. Budaya ini mungkin akan berterusan sehingga PRU 15.
Ketika kita melaungkan budaya politik nilai, tetapi secara praktikalnya ianya masih jauh dan sukar untuk dipraktikkan.
Tidak pasti, sejauh mana dasar media kerajaan yang dipimpin oleh Datuk A.Kadir Jasin sebagai penasihat bersedia untuk mendidik rakyat ke arah membudayakan politik baharu.
Semua parti mendapat hak sama rata di media elektronik dan media cetak, persidangan semua parti mendapat liputan yang seimbang dan wujud debat ilmiah diantara parti pemerintah dan pembangkang untuk menyuburkan dan membangunkan negara.
Walaupun rakyat berbeza wadah, tetapi tetap mempunyai impian yang sama untuk membangunkan negara.
Faisal Mustaffa
Alor Setar, Kedah
0 comments